Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Jun.- Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perkembangan Kurikulum, dengan kerjasama Australian Council for Educational Research (ACER), mengadakan Sesi Sosialisasi Brunei Darussalam Digital Literacy Standards (BDDLS) di Dewan Mawaddah, Setia Point, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Dalam ucapan pembukaannya, Pengarah Perkembangan Kurikulum, Awang Ali Hamdani bin Haji Muhamad Diah berkata, Brunei Darussalam Digital Literacy Standards (BDDLS) dibangunkan sebagai satu lagi pencapaian penting dalam usaha transformasi kurikulum negara.
Bagi julung kalinya, Negara Brunei Darussalam (NBD) mempunyai satu rangka kerja kebangsaan yang komprehensif bagi memperincikan dengan jelas kompetensi literasi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) yang dihasratkan untuk dikuasai oleh para pelajar secara berperingkat, bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 11.
Menurutnya, piawaian ini mewujudkan satu visi kebangsaan yang dikongsi bersama dalam memperkasa literasi digital, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, Digital Brunei 2030, Pelan Strategik Kementerian Pendidikan serta usaha berterusan ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan dan transformasi digital negara.
"Walau bagaimanapun, pembangunan piawaian tersebut hanyalah langkah permulaan. Ukuran sebenar kejayaannya bukan terletak pada rangka kerja itu sendiri, sebaliknya pada sejauh mana ia dapat diterjemahkan kepada amalan bilik darjah yang bermakna, kepimpinan sekolah yang berkesan, serta pengalaman pembelajaran yang memperkaya bagi setiap pelajar. Atas sebab inilah sesi pada hari ini amat penting.
"Sebagai pemimpin sekolah, setiap daripada awda memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan wawasan ini. Peranan awda bukan sekadar tertumpu kepada aspek pentadbiran semata-mata. Malah, awda menetapkan hala tuju sekolah, memupuk pembelajaran profesional, menyemarakkan inovasi dalam kalangan guru, serta mewujudkan persekitaran yang membolehkan para pelajar berkembang maju," jelasnya.
Pelaksanaan BDDLS tambahnya, adalah bergantung bukan sahaja kepada dokumen kurikulum atau sumber pembelajaran, bahkan turut memerlukan kepimpinan, komitmen serta keupayaan dalam membimbing komuniti sekolah masing-masing melalui proses transformasi yang amat penting ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa sokongan semua amat signifikan dalam membantu para guru mengamalkan pendekatan pedagogi yang inovatif, mengintegrasikan literasi digital merentas bidang pembelajaran, serta memupuk penggunaan teknologi secara selamat, bertanggungjawab dan berkesan dalam proses pembelajaran harian.
"Dalam pelbagai aspek, awda merupakan pemangkin utama yang akan menghidupkan piawaian ini, dengan menterjemahkannya daripada sekadar satu set piawaian kebangsaan kepada pengalaman pembelajaran yang autentik, sekali gus memperkasa setiap pelajar untuk berjaya dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi digital," ujarnya.
Acara diteruskan dengan pembentangan bertajuk 'Curricula Reform and its Impact to School and System Leaders' yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, ACER, Lisa Rodgers.
Ini disusuli dengan bengkel bertajuk 'Leading Implementation of Digital Literacy and AI Literacy Across Schools' dikendalikan oleh Regional Tech Lead, Dr. Wagheeh Shukry Hassan, bersama International Tech Lead, Andrew Mannion.
Sesi berkenaan diakhiri dengan penyampaian rumusan serta hala tuju oleh Pemangku Penolong Pengarah Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Dr. Mohamad Khairul bin Haji Matusin.
Sesi sosialisasi tersebut bertujuan untuk membarigakan kandungan piawaian dan kurikulum baharu serta strategi pelaksanaannya bagi menyokong kesiapsiagaan para pemimpin sekolah dalam pelaksanaan BDDLS nanti.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan serta pemimpin-pemimpin sekolah daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Sebagai kesinambungan kepada sesi tersebut, Sesi Orientasi BDDLS akan diadakan 30 Jun 2026 dengan melibatkan guru-guru mata pelajaran Business, Art and Technology (BAT) serta ICT bagi peringkat rendah dan menengah dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU.